UTMSPACE Sepintas Lalu


Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia atau lebih dikenali sebagai UTMSPACE bermula pada bulan Julai 1993 apabila ia ditubuhkan sejajar dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja yang berkualiti di negara ini. UTMSPACE menyediakan laluan alternatif dalam pendidikan dengan memberi peluang kepada mereka yang tidak berpeluang untuk mengikuti sistem pengajian arus perdana untuk memperolehi kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi.

Pada awal penubuhannya, UTMSPACE menawarkan program pembangunan profesional seperti kursus pendek, seminar, bengkel dan latihan dalaman. Walau bagaimanapun, berikutan permintaan yang menggalakkan di kalangan pekerja sektor swasta dan awam terhadap program pendidikan separuh masa, UTMSPACE mengambil inisiatif menawarkan program akademik arus perdana secara separuh masa bermula dari tahun akademik 1995-1996. Pada masa ini, Program Akademik separuh masa menawarkan kursus-kursus di peringkat diploma dan Ijazah Sarjana Muda, selaras dengan kursus yang ditawarkan oleh pelbagai fakulti di UTM. Untuk kemudahan pelanggan, kelas-kelas dijalankan di 17 pusat pembelajaran di seluruh negara.

Program Profesional UTMSPACE menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dalam bidang kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal. Kursus pendek yang direka khas berdasarkan keperluan organisasi juga disediakan. Sijil Kemahiran Profesional UTM ditawarkan untuk memenuhi permintaan industri yang mengutamakan graduan yang cekap dalam semua aspek. Program ini adalah kursus nilai tambah bagi bakal graduan, memberikan mereka daya saing semasa mereka meneroka pasaran pekerjaan. UTMSPACE juga menawarkan khidmat pengurusan acara untuk siri seminar dan persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Seiring dengan misi untuk memberi perkhidmatan pendidikan berterusan yang berkualiti, UTMSPACE juga menawarkan Program Diploma Eksekutif and Program Bahasa Inggeris. Program Diploma Eksekutif adalah disasarkan kepada warga kerja yang ingin mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Program Bahasa Inggeris pula bertujuan untuk membantu pelajar, terutamanya pelajar antarabangsa dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka sebagai persediaan untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda atau pasca-ijazah. Program bahasa ini juga dibuka kepada masyarakat tempatan dan golongan pekerja yang ingin memperbaiki kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di tempat kerja.

Selaras dengan visi UTMSPACE untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam pendidikan berterusan, dari masa ke semasa UTMSPACE akan mengenalpasti dan cuba memenuhi kehendak masyarakat. Promosi dan pemasaran yang agresif akan dijalankan sebagai usaha untuk mengukuhkan jenama UTM and UTMSPACE. Dalam tahun 2010, selaras dengan kenaikan taraf UTM sebagai universiti penyelidikan, UTMSPACE telah diamanahkan untuk mengambilalih dan menguruskan Kolej Sains dan Teknologi (KST) dan Unit Pengurusan Program Kerjasama (UPPK) UTM. Dengan penyusunan semula pengurusan ini, UTMSPACE adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan program Diploma Sepenuh Masa dan Program Diploma Kerjasama yang dijalankan dengan kerjasama 17 kolej swasta.

Pada 28 Januari 2011, UTMSPACE melakar sejarah tersendiri apabila telah berdaftar secara rasmi sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ). Dengan perubahan status ini, UTMSPACE kini bertindak sebagai satu cabang perniagaan UTM yang bertumpu kepada pembangunan pendidikan sepanjang hayat. Selaras dengan misinya, UTMSPACE berhasrat untuk menerajui pembangunan modal insan yang inovatif dan kreatif melalui pendidikan sepanjang hayat yang berkualiti.