12 Ogos 2026 – Program Sinergi Pelajar dan Alumni (PROSPA) 2026 menerusi Forum Keusahawanan Pelajar: “Mencipta Nilai, Bukan Sekadar Keuntungan” telah berlangsung di Dewan Seminar, UTMSPACE, Kuala Lumpur.
Forum ini menjadi platform interaksi antara pelajar dan alumni dalam berkongsi pengalaman, pandangan serta aspirasi berkaitan dunia keusahawanan. Perkongsian yang diketengahkan turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan mencipta nilai melalui inovasi, kreativiti dan strategi perniagaan yang berimpak, bukan sekadar berorientasikan keuntungan.
Forum menampilkan dua alumni UTM yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan, iaitu YBhg. Dato’ Ahmad Tarmizi bin Mohamad, Pengerusi Eksekutif, Uthmaniah Properties Development Sdn. Bhd., dan YBrs. En. Azarin bin Razali, Pengarah Urusan, Good Takecare Trade Sdn. Bhd.
Perkongsian kedua-dua tokoh alumni ini memberikan inspirasi dan perspektif praktikal kepada para pelajar mengenai cabaran, peluang serta nilai tambah yang boleh diterokai dalam membina dan mengembangkan perniagaan.
Turut hadir YBrs. Prof. Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Menjalankan Tugas Dekan SPACE UTM, YBrs. En. Faizul Azli bin Mohd Ridzab @ Hassan, Pengurus Besar Pusat Pengajian Diploma SPACE UTM, barisan pengurusan serta para pensyarah SPACE UTM Kuala Lumpur.
Program ini mencerminkan komitmen SPACE UTM dalam memperkukuh sinergi antara pelajar dan alumni, di samping menyemai budaya keusahawanan serta membentuk pelajar yang berdaya saing, kreatif dan berorientasikan penciptaan nilai.
Jom tonton semula perkongsian forum di https://www.facebook.com/share/1cSAZgX4jy/

Recent Comments